JAKARTA – Satu klip video tular di Aceh, Indonesia memaparkan sebuah kereta jenama Isuzu boleh dihidupkan selepas kenderaan itu ditenggelami banjir lumpur selama 10 jam, lapor portal berita Detik.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun menunjukkan kereta jenis Panther itu dilitupi kotoran dan tanah yang kering.
Bahagian dalaman daripada papan pemuka hinggalah ke lantai kenderaan dipenuhi lumpur.
Meskipun ‘direndam’ lumpur selama 10 jam, orang ramai terkejut apabila enjin kereta itu masih boleh dihidupkan.
“Isuzu ini memang degil dan tidak mati,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 928,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Oleh kerana video ini, harga Isuzu Panther naik 10 kali ganda,” kata seorang netizen.
“Kereta ‘waterproof’ banjir,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














