SEREMBAN – Keluarga tiga remaja yang maut dirempuh pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini tahun lalu tidak mengharapkan pampasan, sebaliknya keadilan untuk anak-anak mereka.
Haslinda Jupri, 45, berkata, sehingga kini dia masih sukar menerima hakikat kehilangan anaknya, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah,15.
“Anak saya sudah tiada. Saya tidak fikir soal pampasan, apa yang saya fikir adalah keadilan untuk anak,” katanya yang ditemui selepas selesai prosiding jatuh hukuman ke atas pemandu kereta Honda Jazz di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut Haslinda, tragedi itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah menjejaskan emosi anak keduanya yang turut terlibat dalam kemalangan sama.
Haslinda berkata, sehingga kini anaknya tidak dapat tidur lena, malah tidak mahu lagi pergi ke sekolah.
Seorang lagi ibu mangsa, Nurha’afza Salwa Hazizan, 42, berkata, sehingga kini, fikirannya masih terganggu setiap kali mengenangkan kehilangan anak bongsunya.
“Malam tadi saya bermimpi dia pulang ke rumah dan memanggil saya ‘mama’. Saya terlalu rindukan dia,” katanya sebak.
Rohani berkata, dia terkilan kerana sehingga kini keluarga tertuduh masih belum memohon maaf berhubung kejadian berlaku.
Pada 6 Mac tahun lalu, Kosmo! melaporkan kemalangan membabitkan kereta Honda Jazz dan dua motosikal jenis Modenas Kriss serta Honda Vario di Jalan Persiaran Senawang pada pukul 8.30 malam.
Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan Honda Jazz yang dipandu lelaki berusia 18 tahun gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.- KOSMO! ONLINE














