PUTRAJAYA – “Semasa berehat, saya suka menonton Netflix, terutamanya drama siri The Blacklist atau sitkom, Yes, Prime Minister. Kadangkala, saya menonton Tom and Jerry.”
Itu `petua’ oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika diminta untuk mengulas mengenai cara beliau berehat selepas bekerja sepanjang hari.
Menurut Wan Ahmad Farid, seorang hakim tidak boleh serius sepanjang masa dan perlu mencari masa untuk berehat dan menenangkan diri selepas seharian bekerja.
“Jadual kerja saya yang padat memaksa saya untuk bekerja lebih masa. Kadangkala apabila pulang ke rumah, saya akan menyambung kerja di bilik belajar (study room) hingga pukul 1 atau 1.30 pagi. Selepas selesai, saya tidak akan terus tidur sebaliknya akan menonton Netflix, kartun Tom and Jerry dan Yes, Prime Minister.
“Inilah antara aktiviti yang membantu saya mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan,” katanya dalam Sesi Temu Bual Sempena 100 Hari Pelantikan Sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika membuat penghakiman, seorang hakim perlu mempunyai hati nurani yang bersih agar tidak timbul sebarang keraguan selepas satu-satu keputusan dibuat.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat, hati nurani mesti bersih supaya tidak timbul penyesalan di kemudian hari. Itulah falsafah saya,” katanya.
Mengulas mengenai misinya selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, beliau berkata, aspirasi utamanya adalah untuk mengurangkan jumlah kes tertunggak di mahkamah.
Katanya, penggunaan mahkamah bergerak yang lazimnya memberi perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman di Sabah dan Sarawak juga akan diperluas ke Semenanjung Malaysia tidak lama lagi.
“Terdapat juga situasi di mana saksi adalah orang kurang upaya atau berada dalam keadaan tidak boleh bergerak, jadi mahkamah akan pergi kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, kemudahan ini turut membantu individu yang berkerusi roda apabila berdepan halangan fizikal di mahkamah tertentu.
“Dan ada mahkamah yang tidak mempunyai kemudahan lif seperti di Seremban jadi bagi mereka yang bergantung pada kerusi roda, ia amat sukar. Sebab itu mahkamah akan pergi kepada mereka,” jelasnya.
Selain itu, mahkamah bergerak turut digunakan apabila bilangan bilik perbicaraan tidak mencukupi atau ketika kerja-kerja pembinaan semula mahkamah sedang dijalankan bagi memastikan prosiding perbicaraan dapat diteruskan tanpa penangguhan.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid turut berkongsi berita gembira berhubung cadangan pembukaan sebuah mahkamah baharu di Shah Alam.
“Mahkamah sedia ada tidak begitu mesra pengguna. Kita sedang meneliti kemungkinan untuk membuka mahkamah baharu tersebut dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














