PETALING JAYA – “Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami…itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan.”
Demikian luahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah menerusi hantaran di Threads hari ini ketika mengenang pemergian rakan seperjuangannya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurutnya, Ketua UMNO Sabah itu bukan sekadar figura tegas seperti dikenali umum, sebaliknya memiliki sisi lembut dan pendiam yang jarang disedari ramai.
“Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergenggam tasbih bila berada di dalam dewan (Dewan Rakyat),” tulisnya.
Mohd. Shahar berkata, zikir perlahan Allahyarham setiap kali persidangan berlangsung menjadi penenang di antara mereka yang duduk bersebelahan.
“Zikir itu tidak kuat, tetapi cukup membuat hati ini merasa damai,” katanya.
Beliau turut memuat naik video kenangan memaparkan Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu membetulkan pin pada bajunya ketika di Parlimen.
Pada masa sama, Mohd. Shahar menzahirkan rasa sebak kerana kehilangan sosok seorang sahabat selain menganggap pemergian Allahyarham pada hari Jumaat sebagai rezeki mendapat keberkatan.
“Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang. Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal menjadi doa yang panjang.
“Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia, hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya. Al-Fatihah. Damailah sahabatku di sana,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu di Sabah.
Terdahulu, ribuan jemaah menghadiri solat jenazah Bung Moktar yang berlangsung di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang dilaksanakan sejurus selesai solat Jumaat dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Imam Suhaidi Kuanting.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas. – KOSMO! ONLINE














