KUALA LUMPUR – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatat kejayaan cemerlang di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2025 di Taipei apabila keempat-empat pasukannya meraih pingat emas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen dan kemahiran warga kerja syarikat itu serta memperkukuh nilai budaya penyelesaian masalah dalam organisasi.
“Kami amat berbangga dengan pasukan-pasukan kami dan pencapaian mereka di Taipei. Projek-projek ini lahir daripada cabaran operasi sebenar di lapangan dan penyelesaiannya mencerminkan keupayaan teknikal, disiplin serta kreativiti tenaga kerja kita.
“Lebih penting, hasilnya telah mula memberi kesan positif serta meningkatkan kebolehpercayaan loji jana kuasa dan kecekapan operasi secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Malakoff di ICQCC 2025 diwakili oleh pasukan dari Loji Jana Kuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dan Loji Jana Kuasa Tanjung Bin (TBPP)
Pasukan Crush’ Em dari TBE membentangkan pendekatan sistematik dalam pengurusan kerja pembaikan pulverizer yang berjaya mengurangkan kos penyelenggaraan sambil mengekalkan prestasi peralatan yang lebih stabil.
Pasukan TBE OPS 42 pula memperkenalkan kaedah penyejukan udara paksa yang memendekkan masa penyejukan turbin stim, sekaligus meningkatkan ketersediaan loji jana kuasa.
Pasukan Sonic membuktikan bagaimana teknologi pengesanan kebocoran ultrasonik dapat mengenal pasti kehilangan udara tersembunyi dalam sistem udara instrumen, seterusnya meningkatkan kecekapan penggunaan udara dan kawalan operasi.
Sementara itu, pasukan Lance-A-Lot dari TBPP merangka kaedah pemantauan yang mengukuhkan ketahanan tiub lance dan menyokong prestasi boiler yang lebih stabil.
Keempat-empat pasukan mencapai julat markah tertinggi di bawah kerangka penilaian ICQCC kerana hasil kerja mereka menyumbang kepada penjimatan kos, pengurangan masa henti dan peningkatan prestasi peralatan di loji.
Mengulas lanjut, Syahrunizam berkata, kesemua kejayaan itu mengingatkan pihaknya bahawa kekuatan terbesar Malakoff adalah warga pekerjanya.
“Apabila mereka diberikan sokongan, pengiktirafan dan persekitaran kerja yang kondusif, mereka mampu menghasilkan penyelesaian bertaraf dunia.
“Budaya ingin tahu, sikap bertanggungjawab dan keberanian mencuba kaedah baharu adalah asas kepada masa depan syarikat,” katanya.
Tambah beliau, prestasi loji jana kuasa yang lebih mantap menyumbang kepada penggunaan sumber yang lebih cekap serta operasi yang lebih stabil, sekali gus menyokong komitmen alam sekitar dan kelestarian.
“Selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 Malakoff, pencapaian ini mencerminkan komitmen kumpulan terhadap penambahbaikan berterusan dan tujuan kami untuk ‘Enhancing
Life, Enriching Communities’ dalam membina landskap tenaga yang lebih mampan bagi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














