KAJANG – “Mereka minta tolong saya, tapi saya memang tak boleh nak buat apa. Saya hanya bergantung pada dahan pokok sahaja waktu itu.”
Demikian kata seorang remaja lelaki yang merupakan rakan kepada dua beradik yang hanyut dibawa arus ketika mengambil bola di dalam longkang di Taman Prima Saujana, di sini, hari ini.
Menurut remaja berusia 18 tahun itu, ketika kejadian, dia telah turun ke longkang terbabit bagi mencuba menyelamatkan dua rakannya.
“Mereka dah lama dah saya kenal, saya main bola dengan mereka petang-petang. Waktu kejadian saya cuba tarik mereka, tapi sekali dengan saya hanyut.
“Saya reda sahaja ketika itu dan kami berpisah semasa dekat dengan kawasan lombong kerana arus sangat kuat di kawasan terbabit,” katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian, kanak-kanak dan remaja lelaki itu bersama beberapa rakan sedang bermain bola di padang berhampiran perumahan mereka.
Mereka kemudian turun ke kawasan longkang bagi mengambil bola yang terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ditemui di kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kantan kira-kira pukul 7.47 malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, mangsa yang ditemukan telah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Tambahnya, operasi SAR masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam bagi mencari abang mangsa. – KOSMO! ONLINE














