KAJANG – Seorang daripada dua beradik yang dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa arus ketika mengambil bola di dalam longkang di Taman Prima Saujana, di sini, berjaya ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kantan kira-kira pukul 7.47 malam tadi.
“Bagaimanapun, dukacita saya ingin maklumkan bahawa mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10 malam di Hospital Kajang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Naazron berkata, operasi SAR masih dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam bagi mencari abang mangsa yang berusia 14 tahun.
Terdahulu, dua beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang, dekat sini, hari ini.
Naazron berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 6.29 petang. – KOSMO! ONLINE














