KUALA LUMPUR – Klinik Dr Hasbi bakal membangunkan Pusat Perubatan dan Kesihatan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan kesihatan moden termasuk rehabilitiasi yang akan disiapkan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Hasbi Harun berkata, pusat perubatan yang menelan belanja antara RM6 juta tetapi mungkin akan mencecah hampir RM10 juta itu kerana ia akan melibatkan pembelian mesin perubatan berteknologi tinggi dan keperluan lain.
Menurut beliau, melalui pusat perubatan yang sedang dalam pembinaan itu bukan sahaja akan dapat memenuhi keperluan kumpulan pesakit dari dalam negeri tetapi juga dari negara jiran seperti Singapura dan juga Hong Kong.
“Untuk perancangan masa depan, kami juga akan membuka cawangan di Pulau Pinang dan juga Johor,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Klinik Dr. Hasbi dengan kumpulan selebriti, Ruffedge yang mana melalui kerjasama tersebut setiap anggota penyanyi itu akan menerima rawatan regeneratif mengikut masalah masing-masing, termasuk kecederaan sukan dan degenerasi tisu akibat usia.
Sebelum ini, Klinik Dr Hasbi terkenal sebagai pakar khatan moden dengan memperkenalkan inovasi Dr. B Clamp, yang menjadikan prosedur berkhatan lebih selamat, efisien dan kurang trauma kepada pesakit.
Kini, Klinik Dr Hasbi muncul sebagai peneraju baharu yang menggabungkan dunia perubatan moden dengan kaedah regeneratif serta gaya hidup untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Antara rawatan utama Klinik Dr Hasbi adalah penggunaan Mesenchymal Stem Cells (MSC), sejenis sel regeneratif berkualiti tinggi yang terbukti secara saintifik berupaya membantu memperbaiki, meremajakan dan memulihkan tisu tubuh.

“MSC terkenal kerana keupayaannya mengurangkan keradangan, mempercepat proses penyembuhan, menyokong kesihatan keseluruhan tubuh dan memperbaiki kerosakan sel dan menjana sel baharu.
“Rawatan terapi stem cell ini mendapat perhatian kerana ia semula jadi, tidak memerlukan pembedahan, mempunyai masa rehat yang minimum serta terbukti berkesan dalam bidang kesihatan dan anti-penuaan pada tahap selular.
“Selain rawatan untuk wajah dan kulit, MSC turut digunakan untuk meremajakan tulang rawan lutut, membantu pesakit yang mengalami osteoarthritis untuk kembali bergerak aktif tanpa kesakitan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














