KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah.
Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak mengaku bersalah, mohon dibicara,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada Tei Jiann Cheing.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat lelaki itu mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Bagi pertuduhan menerima rasuah, tertuduh didakwa telah memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu wang tunai RM40,000 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.
Sementara untuk dua lagi pertuduhan, tertuduh atas jawatan yang sama telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin , Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 7 Disember 2023 dan 5 Mac 2024.
Justeru bagi keempat-empat kesalahan tersebut pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka
diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLNE














