DENGAN latar belakang seni yang kukuh dan hobi memancing mendalam, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri membawa anda menyelami dua dunia berbeza tetapi saling melengkapi.
Walaupun Ahmad Idham masih aktif mengarah, namun dia mengakui belum mempunyai projek terbaharu.
Ini memberi beliau ruang masa yang lebih luas untuk memancing, membebaskan diri daripada tekanan produksi dan skrip.
Minat memancingnya bukanlah sesuatu yang baru. Ia bermula sejak kecil apabila mengikut ayahnya yang bertugas sebagai seorang tentera di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.
Ketika itulah dia diperkenalkan kepada dunia memancing yang membawanya jauh dari hiruk-pikuk kota.
Di samping itu, pengalaman memancing di parit dan longkang seperti memburu ikan puyu dan sepat berjaya mengukuhkan ikatannya dengan alam.
Selepas memasuki universiti dan mula bekerja, minat itu kembali menyala, laut seperti Lumut dan Pulau Sembilan di Perak menjadi medan pilihan utama ketika itu.
Namun sekitar 20 tahun lalu, dia membuat perubahan dengan beralih ke kolam memancing di sekitar Klang, Selangor, antaranya Kolam Perdana Sealion.
Bermula dari situlah, fasa ‘ketagih’ pancing di kolam bayar bermula.

Hampir setiap hari dia akan turun ke Kolam Naga Pandamaran, Klang, sekali gus menunjukkan betapa serius minatnya terhadap hobi ini.
Dr. Ahmad Idham pernah memegang jawatan sebagai pegawai tinggi kerajaan hingga membuatkan dia memilih untuk berehat daripada aktiviti kolam selama empat hingga lima tahun.
Tempoh itu ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan masa dan ruang untuk aktiviti luar terutamanya memancing.
Namun, masa rehat itu bukanlah bermaksud hilang rindu terhadap air.
Kini, dia kembali aktif menyerlah dalam arena memancing terutama melalui sesi live di media sosial yang sering mencecah puluhan ribu tontonan.
Gayanya semasa live sangat berbeza, lebih informatif, mesra pembelajaran, jauh daripada gimik atau show-off semata-mata.

Dia turut menggunakan platform itu untuk menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah pendidikan khas untuk anak-anak istimewa.
Ini jelas menunjukkan bahawa memancing baginya bukan sekadar hobi tetapi satu platform sosial yang membawa kebaikan.
Kegemaran terkininya adalah memancing di Kampung Delek Fishing Park, Klang.
Di sini suasana santai dan penuh gelak tawa mewarnai sesi memancing.
Dia bukan sahaja mengejar strike, malah mencari momen, berbicara, berkongsi, belajar dan membina komuniti.
Sebagai seorang seniman dan pemancing, Dr. Ahmad Idham menunjukkan bahawa kedua-dua minat itu bukanlah antagonis.
Seni mengajar kita melihat dan merasai, manakala memancing mendidik kita bersabar, menghargai alam serta berinteraksi dengan rakan atau komuniti.














