fbpx
Fenomena wartawan rakyat dapat membantu mengurangkan penyebaran maklumat palsu kerana rakaman video dan siaran langsung berperanan sebagai bukti visual yang sahih. Gambar kecil: Dr. Husna Afifi.

‘Wartawan rakyat’ lebih pantas salur info banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam era digital hari ini, media sosial bukan lagi sekadar platform hiburan, tetapi telah berkembang menjadi sumber maklumat utama terutama ketika berlakunya situasi kecemasan seperti bencana alam.

Platform seperti TikTok, X, Facebook dan Instagram kini memainkan peranan besar dalam penyampaian maklumat secara pantas, interaktif dan meluas.

Peranan ini jelas dapat dilihat ketika kejadian banjir besar di Perlis termasuk beberapa negeri lain baru-baru ini, Ketika itu, orang awam bukan sahaja berkongsi keadaan banjir di lokasi masing-masing, malah bertindak sebagai ‘wartawan rakyat’ atau citizen journalist yang membantu menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat.

Siaran langsung (Live) menerusi aplikasi TikTok menjadi medium pilihan utama kerana ia membolehkan situasi di lapangan ditonton secara real time (masa sebenar) tanpa penapisan atau kelewatan.

Tanpa perlu menunggu liputan rasmi media arus perdana, masyarakat dapat melihat perkembangan semasa secara langsung daripada mereka yang berada di kawasan terjejas. Maklumat seperti paras air, keadaan­ trafik, lokasi pusat pemindahan, serta laluan alternatif dapat dikongsikan dengan se­gera, membolehkan orang ramai membuat keputusan cepat dan tepat.

Dalam situasi krisis, kelajuan maklumat merupakan faktor pen­ting, dan media sosial membuktikan keupayaannya sebagai alat komunikasi yang sangat efektif.

Kongsi maklumat

Salah satu insiden yang menjadi tumpuan ketika banjir ialah kejadian penemuan seekor ular sawa besar di kawasan bandar Kangar yang ditenggelami air.

Kejadian tersebut disiarkan secara Live TikTok dan dalam masa kurang 30 minit sahaja, siaran itu telah menarik lebih 13,000 tontonan. Rakaman me­nunjukkan orang ramai berkumpul untuk melihat ular tersebut dengan lebih dekat sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

Lebih menarik, siaran langsung itu turut memaparkan kecekapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam menjalankan tugas menangkap dan memindahkan ular tersebut ke kawasan yang lebih selamat.

Tindakan pantas, penuh disip­lin dan profesionalisme anggota JPAM itu mendapat pujian ramai dalam komen Live TikTok, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan pasukan keselamatan dalam mengurus situasi kecemasan.

Reaksi masyarakat, sama ada mereka yang berada di lokasi mahupun penonton dalam talian, jelas menunjukkan bahawa media sosial telah menjadi platform yang menyatukan komuniti.

Ia turut menghubungkan mereka secara emosional serta memberi ruang kepada orang ramai menyaksikan kerja wira barisan hadapan secara langsung dan bukan melalui laporan tertunda.
Fenomena wartawan rakyat ini juga membantu mengurangkan penyebaran maklumat palsu kerana rakaman video dan siaran langsung berperanan sebagai bukti visual yang sahih.

Berban­ding khabar angin, mesej berantai atau tangkapan layar yang tidak diketahui sumbernya, liputan Live memboleh­kan masyarakat menilai sendiri kejadian sebenar berdasarkan visual yang tidak diubah atau dimanipulasi.

Namun, penggunaan media sosial ketika bencana memerlukan etika dan tanggungjawab digi­tal. Terdapat keadaan di mana penonton terlalu ghairah mendapatkan rakaman sehingga berada terlalu dekat dengan lokasi berbahaya, yang boleh menghalang operasi penyelamat.

Penyatuan komuniti

Oleh itu, pengguna harus meng­utamakan keselamatan, menghormati arahan pihak berssssskuasa dan mengelakkan penyebaran maklumat palsu.
Penggunaan media sosial ketika banjir bukan sekadar soal laporan visual, tetapi turut memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat bantuan kemanusiaan.

Banyak siaran Live dan rakaman video digunakan untuk memohon bantuan bot penyelamat, menggerakkan sukarelawan, mengumpul sumbangan pakaian, makanan dan ubat-ubatan.

Di sini terbukti bahawa media sosial mengubah masyarakat daripada penonton pasif kepada agen tindakan sosial.

Insiden banjir terutama di Perlis memperlihatkan perubahan besar dalam landskap media. Masyarakat kini tidak lagi menunggu wartawan melaporkan berita, tetapi menjadi pemberi maklumat itu sendiri. TikTok, yang dahulu hanya dianggap platform hiburan, kini muncul sebagai medium komunikasi krisis yang efektif.

Banjir besar kali ini membuka mata bahawa media sosial te­lah mengubah cara masyarakat memperoleh berita dan maklumat semasa. Dengan penyertaan aktif masyarakat sebagai pemberi maklumat, komunikasi bencana menjadi lebih cepat, tepat dan menyeluruh.

Bagaimanapun, literasi digi­tal harus diperkukuh agar ma­syarakat dapat memanfaatkan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.

Media sosial kini bukan hanya alat teknologi, tetapi platform solidariti, bantuan dan sokongan kemanusiaan. Di sebalik tragedi banjir, wujud kisah perpaduan dan keberanian yang dirakam serta dikongsi bersama menjadikan teknologi digital sebagai jambatan penyambung kekuatan komuniti.

Dr. Husna Afifi Mohd Yusoff Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan & Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN