BANDAR GAZA – Lebih 50 pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai di selatan Gaza, yang menjadi detik terindah mereka selepas dua tahun berhadapan perang genosid Israel, lapor portal berita Daily Sabah.
Pasangan raja sehari, Hikmat Lawwa dan Eman Hassan yang masing-masing berusia 27 tahun, adalah antara 54 pasangan yang berkahwin di Gaza semalam.
Hikmat memakai sut, manakala isterinya, Eman mengenakan pakaian tradisional Palestin. Mereka dilihat berpegangan tangan sambil berjalan melepasi runtuhan bangunan bersama pasangan lain yang memakai pakaian serupa.
“Dengan segala (peperangan) yang telah berlaku, kami akan memulakan hidup baharu. Dengan izin Tuhan, ini akan menjadi pengakhir perang,” kata Hikmat.
Perkahwinan yang merupakan aspek penting dalam budaya Palestin, dianggap sebagai acara jarang berlaku di Gaza semasa perang.
Tradisi tersebut dihidupkan semula berikutan gencatan senjata yang rapuh biarpun ia tidak diadakan secara mewah seperti dahulu.
“Kami mahu bahagia seperti orang lain. Saya pernah mempunyai impian untuk memiliki rumah, pekerjaan dan menjadi seperti orang lain. Hari ini (semalam), impian saya cuma untuk mencari khemah untuk didiami,” tambah Hikmat. – AGENSI














