KUALA TERENGGANU – Perbuatan empat lelaki warga Indonesia menceroboh Pelantar Pulai-A untuk mencuri kabel elektrik dan telekomunikasi di perairan negara lebih sebulan lalu berbalas apabila mereka dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak menjatuhkan hukuman tersebut selepas kesemua tertuduh iaitu Lufi Haryadi, 27, Jahri Bakar, 54, Rafai Pang Itam, 62, dan Sapri Abuzal, 43, mengaku bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa mencuri 22 gulung kabel milik pelantar berkenaan antara pukul 10.25 pagi, 31 Oktober hingga 10.30 pagi, 2 November lalu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, keempat-empat tertuduh didakwa berada di kawasan larangan iaitu di atas Pelantar Pulai-A tanpa kebenaran pemilik antara tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. – KOSMO! ONLINE














