fbpx
Gambar hiasan

Pemuda cedera dilibas paip PVC, diugut pak cik kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul dan mengugut seorang lelaki di Kampung Cheras Baru, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku pada 29 November 2025 kira-kira pukul 1.40 pagi ketika mangsa sedang menghantar teman wanitanya pulang ke rumah.

Beliau berkata, mangsa dipercayai bertengkar dengan dua abang teman wanitanya sebelum seorang daripada mereka melibas kakinya menggunakan paip PVC dan menumbuk muka mangsa sehingga berdarah.

Katanya, dalam insiden sama, pak cik teman wanita mangsa turut didakwa mengugut akan membunuh mangsa sekiranya terus berhubung.

“Ketiga-tiga suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 4.30 petang hari sama oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Turut dirampas ialah sebatang paip PVC yang dipercayai digunakan dalam kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod lampau.

Katanya, mahkamah turut membenarkan permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek selama empat hari bermula 30 November hingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN