PETALING JAYA – Seorang peniaga berputih mata apabila ditipu pelanggan yang membeli daging lembu bernilai hampir RM300 namun tidak membuat bayaran sebenar dengan alasan sudah melakukan imbasan kod QR.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik peniaga tersebut di akaun TikTok @bqs1619, pelanggan berkenaan didakwa mengambil daging, tulang rusuk, kulit dan perut lembu dengan anggaran nilai sekitar RM290.
Individu itu dikatakan memaklumkan bayaran telah dibuat melalui imbasan kod QR namun peniaga terbabit mendakwa tidak menerima sebarang transaksi masuk.
“Bila ada pelanggan tak bayar. Aku cari sampai dapat orang ni… Kata dah QR rupa-rupanya scammer. Benda makan pun tak bayar.
“Baju belang putih pakai cermin mata. Siapa dapat aku belanja gear box lembu empat ketul,” tulisnya di dalam video itu.
Tambah peniaga itu, dia juga telah membeli radio yang akan berbunyi setiap kali transaksi pembayaran dilakukan, namun masih juga ditipu pelanggan.
Peniaga tersebut turut tidak mendedahkan secara terperinci lokasi pasar tani yang menjadi tapak dia berniaga.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 59,500 tontonan, 315 tanda suka dan lapan perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang menzahirkan rasa simpati terhadap peniaga terbabit.
Selain itu, rata-rata menasihati para usahawan kecil agar sentiasa menyemak resit atau notifikasi transaksi sebelum membenarkan pelanggan beredar, terutama bagi urusan tanpa tunai.
“Zaman sekarang bos, kena seorang pekerja bersedia semak transaksi dalam bank setiap kali bayaran masuk. Memang leceh sikit tapi nak elak dari ditipu,” komen Aishah.
“Macam mana ya rasa ambil barang tak bayar. Kita jenis risau bab haram..jadi darah daging,” komen Titam.
“Memang ada pelanggan yang macam ni, jenis licik tipu QR. Sabarlah bang, insya Allah ada rezeki lain,” komen Hidayah pula. – KOSMO! ONLINE
@bqs1619pagi2 dah kena SCAMMERS kat pasar tani😇😇😇😇😇♬ suara asli – sultanofficialpku – user86380366447














