SHAH ALAM – Seorang lelaki yang ditembak mati di dalam kenderaan pacuan empat roda di Taman Mesra, Klang dekat sini pernah disiasat melibatkan pengedaran dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan mendapati mangsa merupakan lelaki berusia 26 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah.
Katanya, ini termasuk dibawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.
“Bagi Seksyen 39B, mangsa telah dibebaskan selepas siasatan mendapati tiada kaitan.
“Siasatan juga mendapati siasatan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan kini dilakukan secara menyeluruh termasuk berkaitan kes kongsi gelap, gengsterism dan perebutan kawasan berkaitan dadah.
“Kita tidak menolak mana-mana teori dan sedang dipertimbangkan selain tidak wajar dan adil menjurus kepada salah satu perkara berkenaan termasuk perebutan kawasan dadah,” ujarnya.
Shazeli memaklumkan hasil bedah siasat menunjukkan suspek mati selepas terkena lima das tembakan pada bahagian dada menggunakan pistol pada jarak dekat.
Namun katanya, tiada tangkapan mana-mana suspek setakat ini.
“Kes ini masih baru dan status termasuk tindakan polis untuk menentukan motif kejadian serta suspek-suspek terlibat,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dalam seorang lelaki maut ditembak di dalam sebuah pacuan empat roda dengan polis menerima maklumat pukul 8.30 malam pada 29 November berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Shazeli menegaskan kes tembakan berkenaan tiada kaitan satu lagi kes tembakan di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi pada 7 November lalu.
“Pada peringkat masa ini, saya mengatakan tidak namun sekiranya siasatan dijalankan mendapat keterangan atau bukti baharu, mungkin. Namun, ketika ini tidak.
“Berhubung kes tembak stesen minyak itu, tangkapan (tiga suspek termasuk remaja) telah diberi jamin polis kerana siasatan mendapati tiada keterangan untuk dikaitkan dengan kes tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














