KUALA LUMPUR – Dipuji sopan berhijab dan berpakaian menutup aurat secara sempurna, pelakon serta penyanyi Elly Mazlein menyifatkan perubahan yang ditampilkan itu hadir seiring pemahamannya tentang tuntutan agama.
Bersyukur imej baharunya diterima peminat, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, bagaiamanapun mengakui dirinya belum cukup sempurna dan masih dalam proses pembelajaran mendalami ilmu agama untuk menjadi lebih baik.
Setakat ini, dia selesa memilih jenis tudung agak labuh, sesuai dengan cita rasanya.
“Alhamdulillah, tak ada apa pun. Bila saya berhijab, memang nak ikut syariah walaupun belum sempurna. Kita cuba dulu mana yang boleh sebab kita masih belajar.
“Ilmu ni datang sedikit demi sedikit jadi saya cuba jaga sebaik mungkin. Saya nak pakai apa yang buat saya selesa. Hari ini pun saya selesa bertudung labuh.
“Keluar rumah pun pilih tudung labuh sebab itu paling sesuai dengan saya. Terima kasih, kadang-kadang kata-kata itu jadi semangat untuk kita semangat nak jadi muslimah lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tidak hanya penampilan harian, pelakon Kampung People itu mengakui tudung labuh yang menutupi bahagian dada sudah menjadi syarat wajib setiap kali menerima apa-apa tugasan seni.
“Memang syarat saya. Kalau ada tawaran atau kerja, saya akan beritahu awal ‘stylist’ bahawa tudung mesti labuh menutup dada.
“Saya pilih bawal sebab mudah untuk bekerja. Stylist pun saya maklumkan supaya apa jua gaya tetap tutup bahagian sepatutnya.
“Setakat ni semua hijab-stylist sangat bagus. Tak ada isu pun tentang tudung labuh akan menutup fesyen sebab saya memang selesa begitu,” jelasnya.
Paling penting kata ibu dua anak itu, produksi drama dan filem turut memberi sokongan penuh terhadap pemakaiannya.
“Baru-baru ni shooting pun semuanya okey. Mereka tak ada masalah dengan pemakaian saya.
“Saya pakailah jenis tudung macam mana pun asalkan labuh, mereka terima. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Elly mencuri perhatian ramai selepas tampil bertudung penuh di pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada 4 Oktober lalu di Royale Theatre Shah Alam, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan hijrahnya. – KOSMO! ONLINE.














