DOHA – Kesilapan taktikal ketika kereta keselamatan keluar pada pusingan ketujuh meragut peluang Oscar Piastri untuk meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Qatar apabila McLaren membuat keputusan tidak memanggil pemandunya termasuk Lando Norris masuk ke pit.
Strategi itu menghukum McLaren sebaik sahaja semua pelumba lain melakukan hentian pit serentak, sekali gus membuka laluan buat Max Verstappen memintas persaingan dan memenangi perlumbaan ketujuhnya musim ini.
Kemenangan di Lusail itu melonjakkan Verstappen ke tangga kedua keseluruhan, malah menghidupkan perebutan tiga penjuru bersama Norris dan Piastri menjelang perlumbaan penentuan di Abu Dhabi minggu depan.
“Kami memang tidak melakukan keputusan tepat malam ini. Saya cuba sedaya upaya, saya bagi semuanya, tapi malam ini memang bukan milik saya.
“Kalau tengok balik, apa yang patut kami buat memang agak jelas. Kami akan bincang sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Norris yang turut terperangkap dengan strategi sama berkata, keputusan itu merupakan satu pertaruhan yang akhirnya memakan diri sehingga menyebabkan Piastri kehilangan kemenangan dan dirinya terlepas tempat kedua.
Keputusan itu menjadikan McLaren hilang rentak pada fasa awal perlumbaan, sementara Verstappen dengan mudah mengawal perlumbaan hingga ke garisan penamat.
Kegagalan itu turut memberi tamparan besar kepada Piastri dan Norris apabila jurang kejuaraan kini tinggal 12 mata antara Norris dan Verstappen dengan Piastri empat mata di belakang. – AGENSI














