fbpx
Pasar Awam Salak dan Medan Selera Salak terjejas berikutan banjir yang melanda awal pagi tadi di sini, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Banjir: Bayi antara sembilan mangsa diselamatkan di Kampung Salak Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seramai sembilan mangsa termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Salak Tengah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu, air sedalam 0.2 meter dikesan memasuki kawasan penempatan berkenaan sebelum penduduk menghubungi pihak bomba untuk bantuan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 7.15 pagi.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan terdapat banjir berketinggian kira-kira 0.2 meter. Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemantauan serta membantu penduduk terjejas,” katanya.

Katanya, sekitar pukul 11 pagi, pasukan penyelamat mengesahkan bahawa kesemua sembilan mangsa telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke lokasi selamat.

Jelasnya lagi, operasi melibatkan lapan anggota dengan kekuatan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kerja-kerja pemantauan di kawasan sekitar masih dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk.

Sementara itu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang mengesahkan seramai 82 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak di sini pagi ini.

Menurutnya, mangsa dipindahkan selepas kediaman masing-masing di Kampung Salak Tinggi, di sini dinaiki air dalam kejadian banjir awal pagi tadi.

“Banjir yang berlaku sekitar 7.30 pagi itu memaksa penghuni terutama warga emas dan kanak-kanak mendapatkan perlindungan apabila air mula memasuki kawasan rumah ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

“PPS SK Salak dibuka pada 11 pagi dan sehingga kemas kini jam 11.30 pagi, seramai 27 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa, 13 kanak-kanak lelaki, 10 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan ditempatkan di pusat berkenaan.

“Turut direkodkan ialah lapan warga emas serta dua mangsa orang kurang upaya (OKU). Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Pemantauan awal di lokasi turut dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Salak pada jam 9 pagi bagi memastikan keselamatan serta aspek kebersihan kawasan terjejas,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI