fbpx
Keadaan banjir di Hatyai, Thailand. Foto AFP

Banjir Hatyai bantu rakyat kita ubah sikap – KP Bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Banjir besar di Hatyai, Thailand dilihat memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia untuk mengubah sikap menjadi lebih bersedia menghadapi gelombang banjir monsun timur laut.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, impak positif itu dapat dinilai berdasarkan penurunan jumlah mangsa yang telah diselamatkan dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

“Pada tahun ini saya lihat rekod lebih kurang 2,100 mangsa telah diuruskan secara langsung oleh pasukan bomba termasuklah pengeluaran menggunakan bot dan lori, jumlah itu menurun berbanding tahun lalu iaitu lebih 3,000 mangsa.

“Jadi, mungkin kejadian banjir besar di Hatyai yang menunjukkan ramai mangsa terperangkap memberi impak positif kepada perubahan sikap rakyat kita yang lebih bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di Ayer Keroh, hari ini.

Tambahnya, peningkatan kesedaran keselamatan itu juga dilihat ketara khususnya di Perlis, yang kini menghadapi banjir luar biasa.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua 13 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang terlibat dalam operasi penyelamatan di Hatyai.

“Berdasarkan laporan diberikan, pasukan ini bukan sahaja mengeluarkan rakyat kita tetapi juga rakyat Thailand yang dijumpai terkandas, mereka ini akan cuba bantu sebaik mungkin.

“Seramai 45 pegawai PBS telah berada di Hatyai pada hari ini dan tindakan awal serta gerak kerja awal yang kita laksanakan atas inisiatif sendiri bersama-sama sokongan koordinasi daripada kedutaan Malaysia di Songkhla,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya turut bekerjasama dengan ketua bomba di wilayah Narathiwat dan Hatyai bagi memantapkan koordinasi, sekali gus memberi impak signifikan terhadap usaha-usaha penyelamatan yang dijalankan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI