fbpx
Mohd. Zawawi (dua dari kiri) pada Majlis Penutup Operasi Redback Siri 21 / 2025 di George Town, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

Perairan P. Pinang jadi pusat transit jenayah rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dikenal pasti sebagai salah satu negeri di perairan Selat Melaka yang dijadikan sebagai pusat transit untuk semua jenis jenayah rentas sempadan termasuk jenayah penyeludupan migran.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kedudukan negeri itu yang berada hampir dengan Indonesia menjadikannya lokasi tumpuan sindiket sebagai laluan masuk dan keluar sebelum aktiviti jenayah tersebut dibawa ke negara lain.

“Hasil operasi dan risikan sebelum ini menunjukkan terdapat beberapa kes penyeludupan migran yang menjadikan perairan Pulau Pinang sebagai laluan pilihan terutama oleh sindiket dari kawasan utara Selat Melaka.

“Kedudukan Pulau Pinang sebagai kawasan transit turut menjadikan negeri itu berisiko terhadap aktiviti penyeludupan dadah, migran dan pelbagai jenayah laut lain sebelum dihantar ke negara jiran termasuk Australia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Operasi Redback Siri 21 / 2025 di sini, hari ini.

Mohd. Zawawi berkata, beberapa laluan masuk telah dikenal pasti termasuk kawasan perairan Kuala Muda, Nibong Tebal dan Balik Pulau, namun kebanyakan sindiket memilih mendarat di tanah besar bagi mengelakkan kawalan ketat di bahagian pulau.

“Kalau ikutkan, sindiket lebih suka terus ke tanah besar. Kalau ‘landing point’ dekat pulau, mereka akan berdepan pelbagai halangan termasuk pemeriksaan agensi penguat kuasa dan laluan jambatan. Sebab itu tangkapan dadah banyak dibuat di tanah besar” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sedang menilai keperluan menambah aset yang mempunyai keupayaan lebih tinggi bagi melakukan rondaan di sempadan.

“Kita dalam proses menilai aset lebih berkemampuan untuk diletakkan di Pulau Pinang supaya rondaan di sempadan perairan dapat dibuat dengan lebih berkesan. Radar di Pulau Perak yang turut memantau pergerakan bot dari Aceh dan kawasan lain membantu operasi, namun tidak meliputi Pulau Pinang sepenuhnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI