fbpx
Haresh Deol.

Suspek serang wartawan sukan mungkin salah sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan wartawan sukan, Haresh Deol yang diserang sekumpulan individu di Bangsar di sini kelmarin bukan sasaran sebenar suspek.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini siasatan menunjukkan motif kejadian tersebut berpunca daripada isu peribadi.

“Suspek kata ada gangguan terhadap isterinya, tapi kelihatan (dakwaan) ini lebih kepada peribadi. Tapi nampak macam seperti salah sasaran pun ada.

“Buat masa ini kita tahan seorang sahaja tetapi kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Disiplin Terjaga Generasi Terbina 2025, di sini hari ini.

Fadil berkata, lelaki tempatan berusia 37 tahun yang ditahan itu dipercayai menganggur dan mempunyai rekod jenayah. Lelaki itu direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Siasatan masih dijalankan. Kita akan aju siasatan ini kepada AGC sama ada tuduh atau tidak tetapi setakat ini, kita akan cadang untuk tuduh,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan daripada Haresh berhubung kejadian pada pukul 4 petang kelmarin yang dibuat di Pondok Polis Bangsar di sini.

Kejadian berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.

Sebelum itu, Haresh menerusi hantaran di laman X mendakwa diserang dua lelaki sementara seorang lagi individu merakam insiden serangan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI