KANGAR – Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini kekal beroperasi walaupun sebahagian fasiliti kesihatan itu ditenggelami banjir.
Pengunjung, Mohd. Azril Ezwan Ahmad, 38, berkata, dia membawa anak perempuannya ke HTF untuk pemeriksaan selepas kanak-kanak itu mengadu sakit perut.
“Anak saya menerima rawatan termasuk pemeriksaan x-ray, alhamdulillah tiada perkara serius dikesan. Mujur hospital ini dibuka dan masih beroperasi cuma suasana macam Gua Kelam kerana hanya beberapa lampu dihidupkan menyebabkan bahagian farmasi suram,” katanya.
Tinjauan Kosmo! mendapati air di sekitar kawasan hospital mulai surut, namun beberapa zon masih ditenggelami bah termasuk tempat letak kenderaan di Blok B yang menempatkan Wad Bersalin.
Selain itu, beg pasir turut diletakkan di pintu masuk Jabatan Kecemasan HTF sebagai benteng sementara, selain papan luncur yang dipinjamkan individu tidak dikenali bagi kegunaan kakitangan sekiranya keadaan mendesak.
Difahamkan, beberapa blok yang menempatkan Farmasi, Jabatan Pesakit Luar, Klinik Pakar dan Kafetaria mengalami gangguan elektrik setakat tengah hari tadi.
Sebelum ini, proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HTF dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dipercayai disebabkan gangguan elektrik selain persekitaran yang masih digenangi air.
Beberapa generator sokongan turut disediakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan sekiranya bekalan elektrik terputus sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE















