fbpx
PASUKAN menyelamat memindahkan wanita dan kanak-kanak di Padang, Sumatera Barat kelmarin. – AFP

Banjir besar di Sumatera, korban terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Pulau Sumatera meningkat kepada 19 orang, kata seorang pegawai penyelamat hari ini, manakala berpuluh-puluh mangsa  masih hilang.

Cuaca ekstrem melanda Sumatera Utara selama beberapa hari, mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di seluruh wilayah.

“Setakat pagi ini tiada kemas kini  bagi jumlah mangsa yang terjejas selain seramai 19 orang meninggal dunia,” kata pegawai Basarnas, Emy Freezer kepada AFP, memetik data semalam.

Menurut Emy, sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan hilang di enam lokasi.

Akses ke kawasan yang terjejas terputus selain perkhidmatan telekomunikasi dan elektrik, kata Emy.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada operasi pembersihan serpihan untuk sampai ke  lokasi terpencil dan memberikan bantuan, tambahnya.

Hujan lebat di wilayah jiran,  Aceh sejak beberapa hari lalu turut mencetuskan banjir dan tanah runtuh, memaksa kerajaan memindahkan hampir 1,500 orang, demikian menurut agensi bencana tempatan.

Perkhidmatan elektrik di beberapa bahagian di Aceh juga terputus.

Syarikat elektrik milik negara, Perusahaan Listrik Negara dalam satu kenyataan semalam  berkata, pihaknya telah mengerahkan kakitangan untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat selepas banjir kilat menyebabkan menara pencawang runtuh.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik pula memberi amaran bahawa siklon yang digelar Senyar terbentuk semalam dan berpotensi membawa cuaca lebih ekstrem ke rantau itu dalam masa beberapa hari lagi.

Musim monsun tahunan, biasanya antara Jun hingga September, sering membawa hujan lebat yang  mencetuskan tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air di Pulau Sumatera.

Perubahan iklim dunia memberi kesan kepada corak ribut, termasuk tempoh dan intensiti musim, yang membawa kepada hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin lebih kuat.

Sekurang-kurangnya 38 orang maut pada bulan ini dalam kejadian  tanah runtuh akibat hujan lebat di Jawa Tengah, manakala kira-kira 13 masih hilang. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI