SHAH ALAM – Atas nama setiakawan, pelakon Nazia Mustafar sanggup mengenepikan soal untung rugi demi memberi sokongan moral kepada sahabat karibnya, Amyza Aznan.
Nilai persahabatan antara mereka jelas terbukti sewaktu kawan karibnya itu kehilangan anak sulung, Andre Mikhail Khairil Izhar, pada hujung Februari lalu.
Nazia atau nama penuhnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, menghentikan segala urusan kedai makanannya tanpa berfikir panjang demi menemani rakannya sebaik sahaja mendapat perkhabaran tentang keadaan Amyza, ditahan di wad akibat kanser paru-paru.
“Bila dengar berita itu (anak Amyza di hospital), tak tahu nak cakap.
“Saya memang tutup kedai walaupun tengah masak. Saya tak fikir apa, terus datang teman dia.
“Saya tolak tepi dulu (kedai) yang penting saya teman Amyza sampai jenazah dimandikan,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis rumah terbuka anjurannya, baru-baru ini.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, atas sebab itu jugalah pelakon drama Thariq Ridzuwan: His Treasure itu rela mengorbankan sambutan perayaan Aidilfitri demi menyediakan hidangan buat majlis tahlil yang dianjurkan Amyza.
“Malah, hari raya pertama sepatutnya saya beraya tapi saya masak untuk dia sebab dia nak buat tahlil.
“Saya bangun pagi-pagi masak untuk 100 orang makan, saya korbankan raya sebab nak masak untuk dia.
“Kalau tempat lain tak tahu lah mana yang boleh kan sebab hari raya pertama, saya pun faham siapa saja yang boleh,” katanya lagi.
Pada masa sama, Nazia menjelaskan bahawa ikatan persahabatan yang terjalin sudah lama wujud dan turut melibatkan anak-anak mereka yang membesar bersama.
“Kami kawan dah lama, anak-anak dia pun baik dengan anak-anak saya. Walaupun kami jarang jumpa tapi kami akrab.
“Apa-apa permasalahan, kami boleh tahu,” ujarnya.
Sebelum ini, ramai memuji sikap Nazia bersama rakan selebriti lain seperti Didie Alias dan Ieda Moin yang sentiasa berada di sisi Amyza sejak arwah Andre menerima rawatan akibat kanser paru-paru di Hospital Kuala Lumpur sehingga urusan pengebumian selesai.- KOSMO! ONLINE






