KUALA PILAH – Mangsa tembak dan tetak berhampiran sebuah restoran di Seremban minggu lalu dipercayai terbabit dalam kes samun di negeri ini serta Lembah Klang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an pada 21 dan 22 November lalu.
Katanya, empat suspek itu direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Setakat ini seramai 10 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan. Kita tidak menolak kemungkinan kes (tembak) itu disebabkan oleh aktiviti kongsi gelap atau geng membabitkan samun dan dadah. Mereka mempunyai banyak rekod jenayah,” katanya pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Parit Seberang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Alzafny menafikan dakwaan seorang pemimpin politik yang menyatakan Negeri Sembilan tidak selamat.
“Kalau ikut data jenayah di Negeri Sembilan dari Januari hingga Oktober lalu, berlaku penurunan jenayah. Contohnya, jenayah harta benda, sebanyak 1,402 kes berbanding 1,473 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Begitu juga jenayah kekerasan, pada 2024 sebanyak 383 kes dicatatkan. Pada 2025 sebanyak 307 kes direkodkan dari Januari hingga Oktober lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE















