BANGKOK – Tiga syarikat penerbangan membatalkan beberapa penerbangan antara Bangkok dan Hatyai hari ini susulan banjir teruk di daerah itu yang turut menutup perkhidmatan bas ulang alik penumpang ke bandar selatan itu, lapor portal akhbar tempatan.
Laporan itu turut menyebut, pesawat Thai Lion Air, Thai AirAsia dan Thai VietJet telah membatalkan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, laluan Bangkok-Hatyai.
“Thai AirAsia menggantung dua penerbangan pergi balik dari hari ini hingga Ahad melibatkan FD3114/3115 dan FD3118/3119.
“Thai Lion Air membatalkan dua penerbangan pergi balik pada hari ini melibatkan SL704/705 dan SL710/711.
“Sementara itu, Thai VietJet tidak akan meneruskan penerbangan VL328/329 pada hari ini dan esok,” kata Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai menasihatkan pelancong supaya memeriksa penerbangan untuk sebarang perubahan.
Penerbangan tersebut dibatalkan kerana banjir melanda akibat hujan berterusan di Songkhla, Hatyai.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi seluruh wilayah Songkhla, dan kejiranan Pattani, Yala dan Narathiwat.
Walaupun operasi penerbangan terjejas, lapangan terbang itu masih tidak ditutup untuk menempatkan penumpang yang terkandas di terminal.
“Semua perkhidmatan bas ulang-alik antara lapangan terbang dan bandar digantung sementara pada pagi Rabu, manakala perkhidmatan seterusnya bergantung kepada keadaan banjir semasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE















