PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan segera memanggil kedua-dua pihak berkenaan bagi membantu siasatan.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam berkata, semua individu berkaitan juga akan dipanggil bagi mengumpul bukti dan maklumat tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan kertas siasatan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Anwar menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan segera berhubung tuduhan yang timbul. – KOSMO! ONLINE















