fbpx
Gambar hiasan.

Pensyarah rugi hampir RM1 juta percaya untung dalam 2 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pensyarah wanita di sebuah institusi pendidikan negeri ini menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas tertarik dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh dua hingga lima minit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 40 tahun melihat iklan tawaran mempelajari pelaburan saham di Instagram menggunakan aplikasi Moo Moo pada 28 Julai lalu.

Katanya, mangsa kemudian telah menekan iklan tersebut dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta untuk memuat turun aplikasi Moo Moo melalui pautan diberikan kononnya bagi tujuan pendaftaran akaun.

“Mangsa diterangkan mengenai pelaburan dengan keuntungan dalam tempoh 2 hingga 5 minit dan bermula dari 1 September hingga 18 Oktober lalu wanita itu telah membuat 20 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82.

“Wang tersebut merupakan hasil simpanan peribadi, pinjaman bank dan ahli keluarga mangsa sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, selepas membuat pemindahan wang, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan dan kali terakhir diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 sebagai yuran suku tahun bagi membolehkan hasil pelaburan dikeluarkan.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil di Balai Polis Jasin pada Ahad lalu bagi membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan nombor telefon, nombor akaun, dan nama syarikat yang diragui melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum meneruskan sebarang transaksi wang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN