fbpx
Tangkap layar video Ahmad Khairuddin menerima khabar sedih bapanya meninggal dunia pada hari pertama dia menduduki peperiksaan SPM semalam.

[VIDEO] ‘Baru hari pertama SPM, bawa jenazah ayah ke liang lahad’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim di Nibong Tebal, Pulau Pinang menerima khabar sedih bapanya meninggal dunia, selepas dia menjawab kertas soalan peperiksaan semalam.

Menerusi video dimuat naik pada akauan TikTok sekolah tersebut, memperlihatkan remaja itu keluar dari dewan peperiksaan serta ditenangkan oleh ahli keluarganya yang sedia menanti.

Pelajar itu kemudian menaiki kereta dan terus ke sebuah masjid di Kepala Batas, Pulau Pinang untuk menunaikan solat jenazah bapanya.

Dia kemudian turut menaiki van jenazah untuk menghadiri pengebumian jenazah bapanya, malah membantu menurunkannya ke liang lahad.

Di hujung video pula, kelihatan pelajar itu dipeluk oleh guru-guru lelaki dan mereka memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Malah, pelajar itu turut menduduki kertas peperiksaan yang seterusnya, selepas majlis pengebumian jenazah bapanya.

“Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan, namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu.

“Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Salam takziah Ahmad Khairuddin (calon SPM) atas kehilangan ayah tercinta, Ustaz Md. Nor Jusoh. Semoga al-marhum ditempatkan dalam kalangan orang soleh, amin.

“Jiwa yang begitu kental. Seusai pengebumian ayahnya, dia kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan perjuangan, Allah,” menurut perkongsian pihak sekolah tersebut.

Hantaran itu meruntun jiwa pengguna media sosial dan mereka turut mendoakan agar Ahmad Khairuddin diberikan ketabahan atas ujian tersebut.

“Dia kebumi arwah ayah dia dengan baju sekolah lagi. Ya Allah, gantikan berita sedih hari ini dengan kejayaan cemerlang di masa depannya,” kata pengguna TikTok h_nim.

“Baru hari pertama SPM, bawa masuk ayah dalam liang lahad pakai uniform sekolah. Ini pejuang sebenar, semoga terus kuat,” kata seorang lagi pengguna TikTok.

“Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Md. Nor Jusoh. Semoga Allah menempatkan allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh serta para syuhada. Ya Allah, kau berikanlah kemudahan dan kecemerlangan untuk Ahmad Khairuddin dalam peperiksaan SPM,” kata seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE

@tvpsssmkasafKeluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan… namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu. Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Salam takziah kepada Ahmad Khairuddin (calon SPM) atas kehilangan ayah tercinta, Ustaz Md Nor bin Jusoh. Semoga al-Marhum ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Amin 🤲

♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN