KUALA LUMPUR – Seorang wartawan dan pengasas portal berita, Haresh Deol cedera diserang dua individu tidak dikenali di ibu negara, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian ketika dihubungi sebentar tadi.
“Saya sahkan (kejadian) dan laporan telah dibuat di Pondok Polis Bangsar,” katanya.
Terdahulu, Haresh memuat naik hantaran di Threads mendakwa dia telah diserang dua individu tidak dikenali.
“Salah seorang (pelaku) merakam video ketika saya diserang dan saya telah membuat laporan polis,” ujarnya.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam kejadian terbabit dan menyifatkan tindakan mengintimidasi wartawan adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan media.
Geramm dalam kenyataan menuntut agar pihak polis menyiasat insiden terbabit dengan telus, termasuk mengenal pasti motif dan individu yang terlibat. – KOSMO! ONLINE















