fbpx
AMORIM (kiri) gagal menahan diri apabila menempelak kegagalan pemainnya selepas tewas kepada Everton awal pagi semalam. - AFP

EPL: Amorim tuduh pemain punca kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Manchester United mensia-siakan peluang keemasan untuk melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-1 kepada Everton pada perlawanan yang berlangsung di Old Trafford awal pagi semalam.

Lebih malang, United gagal memastikan tiga mata menjadi milik mereka meskipun The Toffees beraksi dengan 10 pemain selepas Idrissa Gueye dilayangkan kad merah seawal minit ke-13 kerana menampar rakan sepasukannya, Michael Keane.

Pengurus United, Ruben Amorim menyuarakan rasa kecewa atas kekalahan itu dan mengakui bimbang dengan kemungkinan kembali kepada suasana musim lalu yang berakhir dengan di tempat ke-15 tanpa sebarang trofi dan kelayakan ke Eropah.

“Jujurnya saya takut untuk kembali kepada perasaan seperti musim lalu. Itulah kebimbangan terbesar saya, jadi saya mahu semua orang bekerja bersama-sama. Pemain berusaha tetapi buat masa ini belum cukup, perlu menjadi lebih baik,” katanya.

Amorim yang kini merekodkan kekalahan ke-20 daripada 55 aksi bersama United dalam kariernya, menganggap ia berpunca daripada kegagalan pemain-pemain membuat keputusan tepat sepanjang perlawanan tersebut.

“Sudah tentu saya sangat kecewa, sama seperti peminat-peminat United. Kami seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk bermain menentang pasukan yang beraksi dengan 10 pemain, ia sangat mengecewakan.

“Bagi saya, Everton layak untuk menang hari ini (semalam) tetapi kami juga banyak mencipta peluang menjaringkan gol. Bagaimanapun, kami tidak ada kualiti (penyudah) selain gagal buat keputusan tepat,” katanya.

Sebagai rekod, kekalahan itu menyaksikan rentak tanpa kalah United dalam lima perlawanan lebur selepas kali terakhir berdepan situasi tersebut ketika tewas 1-3 kepada Brentford pada September lalu.

Amorim turut mengakui mereka tidak memanfaatkan peluang sepenuhnya bagi memperbaiki kedudukan selepas beberapa pasukan besar seperti Liverpool dan Manchester City tewas.

“Kami mensia-siakan peluang berharga kerana ada beberapa keputusan lain meletakkan United dalam situasi cukup selesa. Saya cukup kecewa kerana dari awal perlawanan lagi saya rasa seperti ada sesuatu tidak kena,” ujarnya.

Selepas 12 perlawanan, United kini menduduki tangga ke-10, mengutip 18 mata sama dengan Everton di tempat ke-11 dan juara bertahan, Liverpool yang jatuh ke kedudukan ke-12. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN