fbpx
Najib

Keputusan Titah Adendum Najib diawalkan 22 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan atau enam pihak lain untuk mengesah dan melaksanakan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diawalkan kepada 22 Disember ini.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menetapkan pada 5 Januari tahun depan bagi memberikan keputusan selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Berdasarkan surat daripada firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman menyatakan pemohon (Najib) meminta pertimbangan semula tarikh keputusan yang ditetapkan semalam.

Ia menyatakan pemohon dengan memohon tarikh keputusan dibawa lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.

“Anak guam kami berusia 72 tahun, telah berada dalam tahanan hampir dua tahun sejak Titah Addendum dikeluarkan, jauh melebihi apa yang pernah dimaksudkan kerana titah itu dengan jelas memperuntukkan beliau boleh menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, beliau terus ditahan di penjara sehingga hari ini hanya disebabkan prosiding yang sedang berjalan di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini.

“Setiap hari tambahan yang dihabiskan dalam tahanan adalah satu hari kebebasan yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya. Jika perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 13 Ogos lalu dipatuhi, prosiding ini sepatutnya diselesaikan pada atau sebelum 14 September lalu,” kata surat itu.

Surat itu turut menyatakan, penafian kebebasan yang berterusan terhadap Najib adalah bertentangan Perkara 5 (hak kebebasan diri) Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi bukan sahaja kebebasan fizikal tetapi juga maruah dan keselamatan individu.

Firma guaman itu seterusnya menyatakan, penahanan yang berpanjangan telah menyebabkan tekanan yang amat besar, trauma, serta kemerosotan ketara terhadap keadaan emosi dan kesejahteraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu secara keseluruhannya.

Ia berkata, keadaan ini dibawa kepada perhatian mahkamah terutamanya apabila tarikh keputusan kini menghampiri dua tahun sejak perintah yang sepatutnya dikuatkuasakan melalui tahanan rumah.

“Kami juga dengan hormat merujuk kepada pemerhatian bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang mengetuai rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu, yang menekankan keperluan menyelesaikan perkara ini dengan segera kerana ia membabitkan kepentingan kebebasan (Najib).

“Dalam keadaan luar biasa ini, dan atas arahan tegas anak guam kami yang semakin tertekan oleh kelewatan yang berpanjangan, kami dengan rendah diri dan penuh hormat memohon Yang Arif mempertimbangkan semula dan mempercepatkan tarikh keputusan,” kata surat itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember ini yang ditetapkan melalui prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara atas talian hari ini.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum, dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN