fbpx
GAMBAR dari udara menunjukkan kawasan kediaman yang padat di Jakarta pada Mei lalu. - AFP

Jakarta ibu kota paling ramai penduduk di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR RAYA NEW YORK – Ibu kota Indonesia, Jakarta muncul sebagai bandar raya paling ramai penduduk di dunia dengan hampir 42 juta penghuni, lapor akhbar The Sun UK kelmarin dengan memetik laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan bertajuk ‘Prospek Perbandaran Dunia 2025’ oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB, ibu negara Bangladesh, Dhaka menduduki tempat kedua dengan 36.6 juta penduduk, manakala tempat ketiga adalah Tokyo, Jepun (33.4 juta).

New Delhi, India berada di tempat keempat (30.2 juta), diikuti dengan Shanghai (29.6 juta) dan Guangzhou (27.6 juta), masing-masing di China, manakala ibu negara Mesir, Kaherah berada di tangga ketujuh (25.6 juta).

Menduduki tempat kelapan adalah Manila, Filipina (24.7 juta), diikuti oleh Kolkata, India (22.5 juta) dan ibu kota Korea Selatan, Seoul (22.5 juta).

Wilayah asas Jakarta digelar DKI Jakarta, mempunyai lebih 11 juta penduduk yang tinggal dalam kawasan padat.

Apabila kawasan metropolitan di sekitarnya yang dikenali sebagai Jabodetabek diambil kira, populasi kota raya itu meningkat melebihi 40 juta orang.

Namun, populasi yang begitu besar di Jakarta membawa cabaran signifikan kerana infrastruktur seperti jalan raya dan rangkaian pengangkutan sentiasa berada di bawah tekanan. Isu alam sekitar seperti banjir juga semakin teruk akibat pertambahan pesat penduduk.

Selain itu, sebilangan saintis percaya bahawa sebahagian besar kota raya itu boleh ditenggelami air laut menjelang tahun 2050.

“Potensi Jakarta untuk tenggelam bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Jika anda lihat model kami, menjelang 2050, kira-kira 95 peratus Jakarta Utara akan tenggelam,” kata seorang penyelidik Institut Teknologi Bandung, Heri Andreas.

Jakarta Utara telah ditenggelami laut sedalam 2.5 meter dalam tempoh sedekad lalu, manakala di beberapa kawasan, ia terus tenggelam sehingga 25 sentimeter setahun. Ia adalah lebih dua kali ganda purata global bagi bandar mega pesisir pantai.

Jakarta secara keseluruhan sedang tenggelam pada purata 1 hingga 15 sentimeter setahun dan hampir separuh bandar raya tersebut kini berada di bawah paras laut.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bandar raya itu dibina di atas tanah paya dengan Laut Jawa terletak di bahagian utara.

Sebanyak 13 sungai juga mengalir melalui pusat bandar raya, menjadikan keseluruhan kawasan itu sangat terdedah kepada banjir.

Namun, kadar penenggelaman Jakarta banyak disebabkan oleh pengekstrakan air bawah tanah secara berlebihan untuk kegunaan harian.

Apabila air bawah tanah dipam keluar, tanah di atasnya akan mendap dan ini menyebabkan penurunan tanah.

Bagi menangani kenaikan paras air, kerajaan Indonesia telah mencari penyelesaian radikal apabila ia merancang untuk membina tembok laut gergasi bernilai A$40 bilion (RM165 bilion) bagi melindungi Jakarta daripada ombak besar dan kenaikan paras air laut.

Satu lagi penyelesaian yang sedang diusahakan adalah memindahkan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur dengan kos projek dianggarkan sekitar AS$35 bilion (RM145 bilion).

Populasi semasa Indonesia adalah 286 juta orang, demikian menurut huraian Worldometer terhadap data PBB terkini, dengan negara Asia Tenggara itu menduduki tempat ke-4 dalam senarai negara mengikut populasi. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN