KUALA LUMPUR – Sejumlah sembilan fasiliti kesihatan terjejas akibat bencana banjir melibatkan tiga negeri setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sembilan fasiliti berkenaan membabitkan negeri di Kelantan, Perak dan Perlis.
Katanya, di Kelantan dengan tiga fasiliti kesihatan terjejas, Perak (empat) dan Perlis (dua).
“Daripada jumlah itu, tujuh merupakan klinik desa, klinik kesihatan (satu) dan fasiliti fisioterapi (satu).
“Sebanyak lapan fasiliti kesihatan tidak beroperasi, tetapi perkhidmatan telah dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang terdekat dan tidak terjejas banjir, manakala satu fasiliti kesihatan masih beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Malaysian International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 48 Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) telah digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruhh negeri terjejas setakat ini.
“(Ia) melibatkan 16 Rapid Response Team (RRT) Perubatan dan 32 RRT Kesihatan bagi menyediakan rawatan serta pencegahan penyakit kepada mangsa banjir.
Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 629 mangsa banjir telah diperiksa di PPS oleh pasukan perubatan di seluruh negara.
“Berdasarkan laporan, terdapat 78 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), jangkitan kulit (16 kes), gastroenteritis akut (AGE) (dua kes) dan konjunktivitis (satu kes).
“(Namun) tiada mangsa dirujuk ke hospital dan tiada wabak dikesan,” ujarnya.
Dzulkefly turut memaklumkan bahawa Bilik Gerakan Banjir CPRC di Kelantan telah diaktifkan pada kelmarin manakala Perak dan Kedah pada semalam bagi menyelaras keperluan di kawasan terjejas.
“Bagi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, bilik gerakan tidak diaktifkan buat masa ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















