BANDAR GAZA – Pertubuhan kontroversi, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) akan menutup operasi secara rasmi di Semenanjung Gaza selepas menggantung tugasnya yang mengedarkan bantuan makanan di wilayah Palestin itu pada permulaan gencatan senjata bulan lalu, lapor saluran berita CNN semalam.
“Kami sedang menamatkan operasi kerana sudah berjaya mencapai misi yang menunjukkan bahawa terdapat cara lebih baik untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza,” kata Pengarah Eksekutif GHF, John Acree dalam satu kenyataan.
Pertubuhan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu mengendalikan beberapa lokasi di selatan Gaza dan satu lokasi di zon tengah untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan pada akhir Mei lalu.
Namun, usaha pengagihan itu dengan pantas menjadi kacau-bilau apabila sebahagian rakyat Palestin yang terdesak berlari ke kawasan berpagar untuk mendapatkan bekalan makanan yang terhad.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 2,100 rakyat Palestin terbunuh semasa mereka berusaha mendapatkan bantuan, termasuk ramai yang berada berhampiran atau dalam perjalanan ke lokasi GHF.
Menurut GHF, ia akhirnya berjaya mengagihkan lebih 187 juta bekalan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Yayasan itu menggantung operasinya pada permulaan gencatan senjata pertengahan Oktober lalu apabila AS dan komuniti antarabangsa kembali menggunakan PBB sebagai saluran utama pengagihan bantuan kemanusiaan.
Pada mulanya, ia ditubuhkan untuk menggantikan peranan PBB di Gaza sambil mematuhi tuntutan Israel supaya bantuan tidak sampai kepada Hamas.
Walaupun Israel menuduh kumpulan pejuang Palestin itu mencuri bantuan, satu semakan dalaman oleh kerajaan AS tidak menemui bukti Hamas melakukannya. – AGENSI















