fbpx
Pasukan penyelamat melakukan operasi memindahkan mangsa banjir di Changlun, semalam. Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

1,632 mangsa banjir di Kedah berlindung di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seramai 1,632 mangsa banjir di daerah Kubang Pasu dan Kulim berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding tengah malam tadi yang mencatatkan seramai 1,207 mangsa.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu terus meningkat dengan 10 PPS dibuka dari pukul 8.10 pagi semalam hingga 11 malam tadi.
“Seramai 1,361 mangsa daripada 449 keluarga kini berada di 10 PPS di daerah Kubang Pasu, manakala 271 mangsa daripada 76 keluarga di dua PPS di Kulim,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8 merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 346 orang diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun seramai 191 orang dan Dewan Kampung Tradisi 187 orang. Semua PPS itu di daerah Kubang Pasu.

Banjir di daerah Kubang Pasu melibatkan 28 kampung dari lima mukim iaitu Temin, Sungai Laka, Binjal/Hosba, Keplu dan Ah.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Masjid, Kampung Paya Lantau, Kampung Padang Pasir, Kampung Tebing, Kampung Lembah Keriang dan Kampung Changkat Buloh.

Sementara itu, di daerah Kulim, sembilan kampung dari mukim Sungai Seluang dan Naga Lilit terjejas, antaranya Kampung Sungai Seluang Atas, Kampung Sungai Seluang Bawah, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Siam dan Kampung Naga Lilit.

Dalam pada itu, empat sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Perik di Kampung Perik (F2), Padang Terap dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang (F2), Pendang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI