PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan soalan-soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dikawal dengan baik biarpun wujud dakwaan kononnya ada soalan bocor ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, beliau mengesahkan tiada laporan rasmi dibuat berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah mendapat maklumat awal mengenai perkara itu menerusi media sosial.
“Setakat ini, saya belum menerima laporan rasmi (dakwaan kertas soalan bocor), tetapi kita sudah mendapat maklumat awal melalui media sosial.
“Jadi, perkara itu kini dalam tindakan Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP). Saya pasti mereka mempunyai prosedur serta kedudukan yang jelas untuk menangani isu-isu sebegini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau peperiksaan SPM 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Katanya, beliau pernah menjadi Pengarah LP dan pastinya isu itu akan ditangani dengan baik.
Sebelum ini tular beberapa tangkap layar pihak- pihak yang menawarkan soalan SPM yang didakwa bocor dan dijual pada harga serendah RM499 setiap subjek. Malah, untuk meyakinkan pihak berkenaan turut memberi jaminan mendapat A dan wang dikembalikan. – KOSMO! ONLINE














