CHANGLUN – Meskipun diduga dengan rumah ditenggelami banjir, tiga rakan tidak patah semangat apabila tetap melakukan persediaan dengan mengulang kaji pelajaran bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.
Ketiga-tiga mereka iaitu Annur Asyura Zulfah Mohamad Zahir, Nur Iman Assyahid Abd. Halim dan Rokiyah Sofi yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun merupakan mangsa banjir di sini.
Menurut Annur Asyura, rumahnya di Kampung Kubang Kayu di sini ditenggelami banjir sehingga hampir mencecah tingkat atas, pagi tadi.
“Rumah saya memang kawasan banjir dan air mula naik kira-kira pukul 5.30 pagi tadi. Air naik laju dan ibu terus minta saya kemas semua barang sekolah dan letak di rumah jiran yang lebih tinggi.
“Saya kemudian berpatah balik ke rumah dan bantu ayah angkat barang naik ke tingkat atas rumah. Selepas itu cikgu datang ambil saya di rumah dan bawa ke sekolah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, air terus meningkat dan dia dimaklumkan tingkat bawah rumah sudah ditenggelami banjir.
“Memang penat tetapi saya tetap bersemangat dan mahu fokus jawab SPM esok, saya akan buat yang terbaik. Mungkin ujian ini asbab untuk saya dapat yang lebih baik,” ujarnya.
Ujarnya, dia bersama pelajar yang terjejas banjir kini ditempatkan di asrama SMK Changlun.
“Saya bersyukur dapat berteduh di asrama ini kerana boleh ulang kaji pelajaran dengan rakan-rakan lain, duduk di pusat pemindahan sementara (PPS) mungkin bising,” jelasnya.
Sementara itu, Nur Iman Assyahid dari Kampung Belukar berkata, dia juga sempat membantu memindahkan barangan di rumah ke tempat lebih tinggi.
“Kami memang jangka nak banjir sebab hujan lebat berterusan yang mana pada pukul 3 pagi tadi, mak gerak saya untuk kemas semua barang sekolah.
“Selepas saya ke sekolah pagi tadi, baru air naik dan nasib ibu sempat selamatkan semua barang keperluan sekolah saya,” katanya.
Tambahnya, dia mahu melakukan yang terbaik dalam SPM demi masa depannya.
Rokiyah dari Kampung Lembah Keriang di sini pula berkata, dia berterima kasih kepada guru yang mengambil tindakan pantas dengan menjemputnya di rumah untuk dibawa ke sekolah pagi tadi.
“Mungkin duduk di asrama ini lebih baik, saya dapat beri fokus sepenuhnya kepada SPM,” katanya. – KOSMO! ONLINE















