LANGKAWI – Sebanyak 872 kes gangguan seksual direkodkan di negara ini tahun ini sehingga bulan lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
“Pada tahun 2022, sebanyak 477 kes gangguan seksual telah direkodkan. Jumlah ini meningkat kepada 522 kes pada tahun 2023 dan melonjak lagi kepada 788 kes pada tahun 2024.
“Malah, sehingga Oktober 2025 sahaja, terdapat sebanyak 872 kes dilaporkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Langkawi di Resort World Langkawi, Jalan Teluk Baru di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 1,889 kes rogol dilaporkan pada 2024 dan 1,571 dilaporkan hingga bulan lalu.
Sementara itu, menurutnya, sebanyak 6,245 kes keganasan rumah tangga dicatatkan pada tahun ini hingga Oktober berbanding 7,116 kes pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE















