fbpx
Para peserta bergambar semasa melawat kedai motosikal rakan mereka di Durian Tunggal, Melaka.

Trafik sesak di Melaka tak halang berkonvoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA dikenali sebagai negeri pelancongan bersejarah yang sarat dengan tinggalan penjajahan, bangunan ikonik dan tarikan budaya memikat.

Setiap sudutnya menyimpan kisah lampau yang masih terpelihara, menjadikan negeri ini antara destinasi paling menarik untuk diterokai oleh pengunjung dari dalam dan luar negara.

Walaupun Melaka sering dikaitkan dengan keadaan trafik yang sesak, hal itu langsung tidak menghalang ahli kumpulan motosikal RTK Motorsport untuk menerokai bandar bersejarah ini secara konvoi.

Malah, konvoi seramai 15 peserta dari Kuala Lumpur itu memilih untuk mengunjungi bandar tumpuan tersebut pada hujung minggu iaitu waktu paling meriah dan sibuk.

Menurut wakil kumpulan, Muhammad Dzarif Fiqri Nor Azuan, 25, konvoi itu diadakan untuk melawat kedai motosikal serta singgah di kedai makan kenalan mereka di Melaka.

“Tujuan asal adalah melawat kedai motosikal kenalan, M Two Project di Durian Tunggal dan singgah di kedai makan rakan lain, Bakau Bakau Siring yang terletak di Jalan Jeti Anjung Batu, Merlimau.

“Kebetulan masa itu pun hujung minggu, jadi memang ramai pengunjung. Tapi kami redah sahaja untuk lihat bagaimana rasa konvoi ke bandar Melaka,” katanya kepada CitaRasa.

Perjalanan dimulakan di Shell Sungai Besi, Kuala Lumpur sekitar pukul 1 tengah hari sebelum berhenti sebentar di Tol Ayer Keroh, Melaka.

Setelah semua peserta kembali berkumpul, konvoi meneruskan perjalanan menuju salah satu destinasi utama iaitu M Two Project.

Konvoi dari Kuala Lumpur ke Melaka melibatkan motosikal pelbagai jenis itu disertai oleh 15 peserta.

Selain melawat kenalan, ahli RTK Motorsport turut mengambil kesempatan menikmati coconut shake dan mango shake di Batu Berendam.

Kumpulan tersebut juga sempat berpusing sekitar Melaka dan singgah di beberapa lokasi tumpuan seperti kawasan bersejarah A Famosa serta Jonker Street pada waktu malam.

Kongsi Muhammad Dzarif Fiqri, cabaran paling ketara ialah keadaan trafik yang sangat sesak, khususnya di sekitar bandar Melaka dan kawasan Jonker Walk.

“Bilangan lampu isyarat yang banyak menyebabkan beberapa ahli konvoi tertinggal di belakang, ini menyebabkan perlu penyelarasan semula perjalanan.

“Atas faktor itu, kumpulan kami terpaksa berhenti di beberapa lokasi bagi memastikan semua peserta kembali berkumpul,” katanya.

Dari segi parkir pula, mereka mengakui tidak membuat perancangan awal dan lebih banyak bergantung nasib.

Sememangnya kebanyakan kawasan tumpuan di Melaka, terutama pada hujung minggu penuh dengan kenderaan hingga ruang parkir amat terhad. Keadaan itu memaksa mereka berlegar beberapa kali di sekitar pusat bandar sebelum mencari lokasi yang benar-benar sesuai dan selamat untuk meletakkan motosikal.

Ini termasuk tindakan mereka memohon kebenaran daripada pihak Majlis Bandaraya Melaka untuk meletakkan motosikal di kawasan kaki lima bangunan.

Jelas Muhammad Dzarif Fiqri, tidak mustahil untuk kembali mengadakan konvoi di Melaka walaupun bandar itu terkenal dengan jalan yang sibuk.

“Yang penting, kita patuh pada peraturan jalan raya dan sentiasa berhemah ketika bergerak dalam kumpulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN