KUALA LUMPUR – ASEAN disaran bergerak dalam tiga hala tuju utama bagi memastikan masa depan e-dagang rantau ini kekal kukuh, selamat dan inklusif dalam menghadapi perkembangan pesat ekonomi digital.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata langkah itu penting bagi membolehkan negara anggota bergerak sebagai satu blok digital yang lebih tersusun.
Menurutnya, hala tuju pertama ialah pembinaan Ekosistem Kepercayaan Digital ASEAN dengan memberi perhatian kepada perlindungan data, keselamatan siber dan peningkatan kepercayaan pengguna merentas sempadan.
“Hala tuju kedua pula ialah kebolehoperasian serantau tanpa sempadan yang membolehkan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) mengakses 680 juta pengguna ASEAN sebagai satu pasaran tunggal,” katanya ketika merasmikan ASEAN E-Commerce Conference 2025.
Beliau menjelaskan bahawa hala tuju ketiga pula ialah memfokuskan kepada e-dagang hijau dan inklusif termasuk galakan penggunaan bahan logistik yang mesra alam, pembungkusan lestari serta sokongan terhadap produk tempatan.
Fuziah berkata, komitmen industri turut diperkukuh apabila pemain digital bersetuju menerima dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang dibangunkan secara mampan melalui pengagihan ekonomi yang adil, saksama, dan inklusif sekali gus menandakan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, kerajaan sedang melakukan persediaan terhadap pindaan undang-undang e-dagang termasuk definisi baharu e-dagang, memperkasa kebajikan pengguna dan pendekatan baharu berkaitan transaksi rentas sempadan serta penggunaan AI dalam perdagangan.
“Kerajaan telah merangka pindaan undang-undang berkaitan e-dagang dan ia ia sedang dalam fasa pembangunan dasar dan penggubalan dan akan dibentang di parlimen menjelang suku pertama 2026,” ujarnya.
ASEAN E-Commerce Conference 2025 telah menghimpunkan pemain industri global termasuk Alibaba International, wakil China, PBB serta pelbagai badan ASEAN dalam usaha memperkukuh keselarasan dasar dan masa depan e-dagang serantau.- KOSMO! ONLINE.















