SHAH ALAM – Fokus utama penyanyi Nubhan kini hanya untuk pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) meskipun isu kemelut rumah tangga dengan isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek masih belum bernoktah.
Menurut Nubhan atau nama penuhnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, dia enggan menghampakan peminat yang sentiasa menyokong sejak bermulanya GV12.
“Sekarang, saya beri fokus 100 peratus kepada GV12.
“Saya kena fokus sebab GV sekarang menjadi tanggungjawab dan tak boleh nak main-main.
“Memang usaha untuk tidak menghampakan peminat. Penat mereka datang menjerit, bawa macam-macam. Jadi dengan beri fokus (bertanding), inilah saya balas balik pada mereka,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Sempat mengulas dakwaan wujud orang ketiga yang dikatakan menjadi antara punca kemelut rumah tangga, Nubhan memilih untuk enggan mengulas lanjut.
“Isu itu sudah lama dan saya dah tak mahu komen lagi mengenainya.
“Sekarang cuma mahu fokus pada GV12, itu sasaran utama,” jelasnya.
Memberikan persembahan konsisten dan sentiasa berada di kedudukan tiga teratas dalam tempoh empat minggu, dia enggan memberi persembahan ”tangkap muat’ kerana tidak mahu menghampakan peminat serta barisan juri
Dia juga mengelak dirinya hanyut dengan segala pujian yang diberikan oleh barisan juri dan orang ramai sebaliknya akan terus memperbaiki kekurangan diri dalam persembahan seterusnya.
“Saya tak mahu berikan persembahan ala kadar atau ambil ringan sebab semua itu akan mengecewakan para peminat.
“Perjalanan saya dalam GV ini masih jauh, sekarang baru minggu keempat.
“Sekarang memang tak mahu terlalu selesa dan gembira sebab takut akan menghanyutkan saya, ada banyak lagi tanggungjawab perlu dilaksanakan.
“Orang cakap jangan makan puji cuma kalau mereka kata persembahan saya okey, alhamdulillah,” ujarnya.
Terdahulu, Nubhan meraih ‘standing ovation’ daripada Hetty Koes Endang selepas memberi persembahan hebat mendendangkan lagu Kian duet bersama Mawi pada konsert minggu keempat semalam.
Susulan itu, dia berjaya berada di kedudukan kedua pada minggu keempat GV12. – KOSMO! ONLINE















