SABAK BERNAM – Hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan 34 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Bernam, akibat banjir.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, kesemua mangsa terdiri daripada sembilan buah keluarga setakat pukul 2.21 pagi tadi.
“Mangsa-mangsa banjir melibatkan 13 lelaki dan 21 perempuan. Ini termasuk empat bayi dan dua Orang Kelainan Upaya,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.35 malam melibatkan banjir di Kampung Nelayan Sungai Besar.
Tambahnya, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir itu.
“Berdasarkan laporan jomander operasi beberapa rumah telah dinaiki air susulan hujan berterusan dan air pasang besar.
“Mangsa yang diselamatkan oleh anggota Bomba seramai 26 orang melibatkan enam buah keluarga yang kesemuanya ditempatkan di PPS Dewan Sri Bernam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















