KOTA BHARU – Sekolah yang terjejas banjir dibenar untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang musim tengkujuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tiada sebarang masalah untuk memberi kebenaran kepada sekolah untuk melaksanakan terus kaedah itu jika terjejas banjir.
Menurutnya, arahan itu bukan hanya untuk negeri yang ketika ini dilanda hujan lebat, sebaliknya kebenaran tersebut terpakai di seluruh negara.
“Sekolah yang terkesan banjir boleh melaksanakan PdPR serta-merta tanpa sebarang masalah dan tidak mengambil kira negeri tertentu.
“Apabila terjejas banjir, pihak sekolah diberi kebenaran untuk PdPR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, semua pihak perlu memberi kerjasama bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar walaupun berdepan situasi banjir di beberapa negeri.
Katanya, menerusi tinjauan yang dijalankan, murid dan pelajar yang menjalani PdPR tidak mengganggu peperiksaan SPM meskipun sekolah dijadikan PPS.
“Selain itu, pelajar yang terjejas dengan banjir dibenarkan untuk berpakaian bebas sepanjang tempoh tersebut.
“Bagaimanapun, pakaian yang dipakai perlu sopan dan bersesuaian dengan imej seorang pelajar atau murid,” katanya. – KOSMO! ONLINE















