PERUBAHAN gaya hidup masyarakat masa kini, termasuk pemakanan tidak sihat yang mendorong pelbagai penyakit bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang dewasa dan warga emas, tetapi juga kanak-kanak.
Selain kewujudan hospital, klinik dan pelbagai pusat rawatan, keperluan untuk perkhidmatan fisioterapi juga penting bagi memenuhi pertumbuhan pasaran.
Sebuah syarikat bumiputera, Physiogo Sdn. Bhd. telah bertapak sejak tahun 2017 menerusi outlet sulungnya di Bangi, dan kini memiliki 11 cawangan di pelbagai lokasi strategik di Lembah Klang bagi membantu merawat lebih daripada 90,000 pesakit.
Pengurus Besarnya, Muhammad Harith Mohd. Azman berkata, misi syarikat adalah untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bagi membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik, sambil memartabatkan profesion fisioterapi di Malaysia.
“Kami sangat terkesan apabila ada segelintir masyarakat yang menyamakan kami sama dengan tukang urut, jadi kami perlu memainkan peranan untuk mengangkat profesion fisioterapi ini ke peringkat lebih tinggi.
“Kami percaya perkhidmatan fisioterapi adalah penting kerana ia bukan sekadar menawarkan rawatan pemulihan, tetapi sebagai satu perjuangan untuk kehidupan manusia dengan membawa kembali keupayaan pergerakan, keyakinan dan maruah diri,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis pemeteraian kerjasama antara Physiogo dan University of Cyberjaya (UoC) di Cyberjaya, baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang kerjasama terbaharu syarikat dengan UoC?
Muhammad Harith: Ini adalah komitmen kami untuk memperkukuhkan standard, latihan, penyelidikan dan amalan fisioterapi melalui gabungan kepakaran akademik serta pengalaman kami dalam bidang ini.
Kerjasama ini juga diharap dapat memartabatkan lagi profesion fisioterapi memandangkan masih ramai yang salah anggap terhadap kerjaya ini sebagai tukang urut. Fisioterapi adalah satu kerjaya yang memerlukan seseorang itu mendapatkan lesen dan berdaftar.
Kami lihat kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang kepada pelajar yang mengambil kursus ini mendapat pengalaman, pendedahan sebenar, latihan berkualiti serta peluang kerja yang stabil.
Boleh jelaskan perkembangan terbaharu Physiogo?
Sejak tahun 2017, kami telah melaksanakan lebih daripada 300,000 sesi rawatan melibatkan lebih 90,000 pelanggan yang menghadapi pelbagai masalah, sebahagian besarnya adalah yang berkaitan dengan otot dan saraf.
Berapa cawangan Physiogo setakat ini?
Buat masa ini, kami memiliki 11 cawangan dan semuanya di Lembah Klang, dengan outlet terbaharu terletak di Cyberjaya. Tahun hadapan kami bercadang untuk membuka empat atau lima cawangan baharu yang mana kesemua cawangan ini diuruskan sendiri oleh syarikat.
Apakah perkhidmatan terbaharu syarikat?
Kami bakal membuka sebuah pusat perkhidmatan penjagaan warga emas berkonsepkan premium yang menerapkan unsur keislaman dan kerohanian, serta mewujudkan persekitaran yang membolehkan kumpulan sasaran bersosial dan bergaul sesama mereka.
Lokasinya di Kota Damansara dan akan dibuka pada Disember ini, dengan kapasiti 15 katil. Ia bukan rumah penjagaan orang tua yang tradisional, sebaliknya berkonsepkan hotel yang menerapkan seni reka eksklusif dan premium.
Kami akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan fisioterapi dan pemantauan kesihatan.
Buat permulaan, kami menawarkan perkhidmatan ini kepada kumpulan pelanggan wanita dan ia terbuka kepada pelanggan yang mahu datang secara harian atau menginap di pusat ini. Harga pakejnya akan diumumkan pada hari pembukaannya nanti.
Apakah masalah utama pelanggan di Physiogo?
Perubahan gaya hidup masyarakat membuatkan ramai yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan otot dan sendi, ada juga datang kerana berdepan masalah slipped disc yang memerlukan tempoh rawatan panjang dengan sesi maintenance berterusan.
Nisbah pelanggan lelaki dan perempuan sama sahaja, tetapi isu berkaitan sukan dan rekreasi banyak melibatkan lelaki. Wanita pula cenderung memiliki tahap kesedaran lebih tinggi, jadi ramai kakitangan kami ialah perempuan untuk memenuhi keperluan tersebut.
Selain itu, pelanggan kami juga lebih terdorong untuk meneruskan perkhidmatan maintenance kerana mereka tahu sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik, penyakit mungkin berulang dan pastinya mereka terpaksa melalui semula kaedah rawatan yang menyakitkan dan seterusnya proses untuk sembuh kembali akan menjadi lambat.














