SEJAK dahulu anak-anak dididik untuk mencintai buku kerana membaca merupakan jambatan ilmu. Namun, dengan arus teknologi moden yang mendampingi generasi muda dan orang dewasa, populariti buku semakin menurun.
Kehadiran gajet berupa telefon, tablet dan juga pelbagai permainan video memberi saingan sengit kepada buku. Jika dahulu buku menjadi teman pada masa lapang tetapi kini telah diambil alih oleh pelbagai gajet teknologi moden.
Pun begitu, ada beberapa negara yang masih lagi mengekalkan budaya ilmu dengan membaca buku dan menyediakan fasiliti lengkap untuk memastikan kecintaan itu terus mekar. Sehubungan itu, pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima negara paling banyak pembaca buku dan meluangkan masa paling lama dengan buku menurut data dikongsikan oleh World Population Review dan dilaporkan oleh Times Of India.
1- Amerika Syarikat
DI kedudukan pertama adalah Amerika Syarikat (AS) dengan purata pembaca meluangkan masa 357 jam setiap tahun untuk membaca pelbagai genre buku dan majalah. Rangkaian perpustakaan awam yang meluas, populariti e-buku yang semakin meningkat dan inisiatif yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat telah mengukuhkan budaya membaca di negara itu.
Daripada pembaca muda yang meneroka platform digital kepada generasi ‘lama’ menggunakan buku untuk menyemarakkan lagi budaya membaca di AS yang disesuaikan lagi dengan gaya hidup moden dengan sangat baik. Oleh itu, tidak hairanlah setiap seorang di AS membaca kira-kira 17 buah buku setahun.
2- India

SECARA purata, setiap seorang di India menghabiskan masa membaca sebanyak 16 buah buku setahun. Ini sekali gus meletakkan India di tangga kedua negara paling banyak orang membaca buku dengan habiskan 352 jam dalam setahun.
Perkara ini dipacu oleh warisan sastera negara yang mendalam, industri penerbitan pelbagai bahasa dan akses mampu milik kepada kandungan digital, semua ini jadi penyumbang kedudukan yang mengagumkan ini. Daripada kesusasteraan serantau kepada buku terlaris Inggeris, pembaca India terlibat dengan gabungan genre yang pelbagai, menjadi petanda betapa rancaknya budaya membaca negara itu.
3- United Kingdom

DI tempat ketiga, pembaca di United Kingdom (UK) menghabiskan masa sekitar 343 jam setahun bersama buku. Tradisi sastera Britain dari Shakespeare hingga J.K. Rowling masih mempengaruhi pembaca moden. Setiap seorang penduduk di UK membaca kira-kira 15 buah buku setahun. Selain itu, rekod jualan buku di negara ini juga telah mencecah sekurang-kurangnya 212 juta.
Perpustakaan awam, festival sastera dan kelab buku kekal sebagai pusat landskap budaya. Walaupun peralihan digital, buku bercetak terus memegang daya tarikan istimewa untuk pembaca di UK.
4- Perancis

SETERUSNYA, Perancis menduduki tempat keempat dengan purata 305 jam masa membaca dalam setahun. Dikenali dengan tradisi intelektualnya, pembaca Perancis sering mengimbangi fiksyen, esei dan karya falsafah.Dianggarkan sebanyak 14 buah buku dibaca dalam setahun oleh seorang penduduk di Perancis.
Kafe dan kedai buku di negara itu, khususnya di Paris masih berfungsi sebagai titik pertemuan untuk perbincangan dan kreativiti, mengekalkan imej global Perancis sebagai negara pemikir dan pembaca.
5- Itali

DI tempat kelima adalah Itali dengan rakyat di negara itu dilaporkan membaca kira-kira 278 jam setiap tahun, mencerminkan semangat sastera yang mantap. Pembaca Itali menunjukkan penghargaan yang mendalam terhadap puisi, kritikan seni dan kesusasteraan klasik, manakala pengarang moden terus mendapat perhatian di dalam dan luar negara. Kecintaan untuk bercerita yang diwarisi dari budaya dan seni berabad-abad, kekal sebagai asas kehidupan Itali. Untuk rekod, purata pembaca di Itali membaca 13 buah buku setahun.















