TAMPIN – Seorang lelaki merayu kepada pelanggannya supaya mengambil semula lebih 200 pasang kasut yang ditinggalkan di kedainya di sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengganggu operasi sekali gus terlepas upah RM20 setiap pasang.
Zulkifli Rashid, 52, berkata, setiap hari dia berdoa dan berharap agar pelanggan-pelanggannya ingat semula kasut yang ditinggalkan untuk dibaiki di kedainya di pekan Tampin di sini.
Katanya, kasut yang bertimbun itu menyebabkan kedai kecil yang disewa lebih 30 tahun lalu hampir penuh dan menyukarkan operasinya dan pelanggan lain yang datang.
“Kasut lama yang hancur dan reput saya buanglah sebab pelanggan hendak duduk. Kasut yang elok saya masih simpan kerana bimbang pemiliknya datang pula jika saya buang.
“Ada pelanggan yang ambil kasut mereka semula selepas setahun dibaiki. Buat masa ini saya pegang amanah ni kerana saya tidak paksa sebab tahu pelanggan saya datang dari jauh seperti Gemas, Melaka, Rembau, Kuala Pilah dan lain-lain,” katanya.
Menurut Zulkifli, pendapatan sebagai tukang kasut digunakan untuk menyara keluarga sejak 30 tahun lalu hingga anaknya berjaya masuk ke universiti.
Tambahnya, sebelum PKP, pendapatannya mencecah RM3,000 sebulan tetapi kini separuh telah hilang dengan dia mampu membaiki antara enam hingga 10 pasang kasut sehari.
“Sebab minat, saya masih jadi tukang kasut antara pukul 10 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu. Saya juga mengajar anak muda yang ada minat,” katanya.















