PETALING JAYA– Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bahawa satu penyelesaian tuntas berkaitan sistem NG999 akan diumumkan hari ini bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, sejak NG999 dilancarkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau rapat segala isu berkaitan sistem berkenaan dan mengambil tindakan segera apabila diperlukan.
Dr. Dzulkefly turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan KKM serta memberikan pandangan konstruktif, termasuk kritikan keras terhadap NG999.
Namun, beliau mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat andaian atau sangkaan melampau sebelum mendapatkan maklumat penuh mengenai situasi sebenar.
Terdahulu, akhbar melaporkan Telekom Malaysia (TM) memaklumkan perkhidmatan panggilan suara 999 kekal berfungsi dan terus menjadi saluran utama untuk bantuan kecemasan.
Dalam kenyataan rasmi, TM menjelaskan aplikasi mudah alih SaveME999 hanya berperanan sebagai saluran tambahan bagi perkhidmatan kecemasan dan bukan pengganti talian 999.
“TM turut mengambil maklum segelintir orang awam menghadapi kesukaran menghubungi talian kecemasan serta respon yang agak perlahan pada fasa awal penghijrahan Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999),” menurut kenyataan itu.
Pihak TM menekankan talian 999 direka untuk kegunaan individu dan keluarga dalam situasi mendesak.
Orang awam diingatkan agar menaruh keyakinan bahawa setiap insiden akan diutamakan dan ditangani pada tahap tertinggi.- KOSMO! ONLINE














