KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dipaksa bekerja keras sebelum menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Australia, hari ini.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu berhempas pulas selama 69minit sebelum menoktahkan kemenangan ke atas gandingan veteran Korea Selatan-Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem menerusi keputusan 21-13, 20-22, 22-20.
Perlawanan yang berlangsung di Sydney sebentar tadi, gandingan yang diberi julukan DinFei itu tidak berdepan masalah untuk menguasai set pertama apabila tampil agresif sebelum menang 21-13 dalam tempoh hanya 15 minit.
Namun, Sol Gyu-V Shem bangkit memberikan tentangan sengit di set kedua dan berjaya mengheret permainan ke mata akhir sebelum merampas set tersebut 22-20 untuk memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung lebih mendebarkan dengan kedua-dua pasangan saling berbalas serangan dan kejar-mengejar mata.
Bagaimanapun, ketenangan yang dipamerkan Izzuddin-Sze Fei pada saat genting membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengunci kemenangan tipis 22-20.
Kemenangan itu membuka laluan untuk mereka berdepan pasangan dari Indonesia, Raymond Rere-Nikolaus Joaquin, di peringkat separuh akhir esok.
Gandingan ke-32 dunia dari Indonesia itu sebelum itu mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir hari ini.
Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut cemerlang apabila menempah slot ke peringkat separuh akhir.
Pasangan pilihan pertama kejohanan itu tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan menerusi keputusan straight set 21-17, 21-15 dalam tempoh 37 minit.
Kemenangan itu melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas pasangan Taiwan tersebut kepada 4-1 dan mereka dijadualkan bertemu wakil Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai, bagi merebut tempat ke pentas final. -KOSMO! ONLINE















